Alhamdulillah, setinggi kesyukuran ke hadrat Allah s.w.t atas keizinanNya sehingga Talkshow Palestin akhirnya berjaya diadakan. Selawat & salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w, ahli keluarga baginda, para sahabat dan mereka yang terus memperjuangkan Sunnah baginda hingga Hari Kiamat. Saya sekadar ingin memberikan ulasan berkaitan Talkshow Palestin yang baru sahaja berlangsung semalam.
Secara keseluruhan, saya rasa program ini telah berjaya menimbulkan kesedaran kepada para pelajar tentang pentingnya kita mengambil tahu tentang isu Palestin ini. Yang kedua, isu Palestin yang mungkin dianggap oleh sesetengah orang sebagai isu umat Islam telah berjaya ditangkis dengan penjelasan yang memuaskan. Walaupun hanya seorang sahaja ahli panel yang dapat hadir iaitu Ustaz Ferry Nur dari KISPA, tetapi talkshow berlangsung dengan baik. Beliau berjaya menjelaskan secara rinci tentang isu Palestin dan muslihat Israel yang sengaja mereka-reka alasan untuk menghancurkan Gaza.
Antara yang menarik dalam talkshow tersebut adalah persamaan antara Nazi dengan Israel hari ini. Terdapat begitu banyak persamaan antara mereka sehingga Israel boleh diberi gelaran ‘Nazi Zaman Moden’. Dari segi bantuan pula, menurut Ustaz Ferry Nur, warga Palestin tidak memerlukan bentuan ketenteraan sebaliknya mereka memerlukan bantuan makanan dan perubatan. Oleh itu, marilah kita bersama-sama menyumbang sedikit dari apa yang kita ada buat warga Palestin. Percayalah suatu hari nanti mereka pasti akan membantu kita di kala kita berada dalam kesusahan.
Yang terakhir, saya agak terkilan dengan kehadiran para pelajar. Auditorium yang mampu memuatkan lebih 300 orang pelajar hanya terisi separuh sahaja dan sebahagian besarnya adalah wanita. Di manakah lelaki-lelaki yang akan menjadi ketua keluarga kelak? Adakah dengan sikap tidak peduli anda mampu membimbing isteri dan anak-anak anda? Fikir-fikirkanlah. Saya memohon maaf kalau ada yang terasa hati tetapi saya amat kecewa dengan ketidakprihatinan mereka yang tidak hadir. Wallahu’alam.